Monday, November 29, 2010

Minda Pengarang: Pemimpin tertinggi PKR sanggup gadai maruah bangsa demi survival parti

KRISIS dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) akibat ahli hilang keyakinan terhadap kepemimpinan tertinggi kini berada pada tahap kronik. Proses pemilihan parti dalam tempoh dua bulan ini menjadikan PKR kucar-kacir.

Ini susulan tidak puas hati ahli dan pemimpin pada semua peringkat terhadap kepemimpinan dan sikap yang memihak serta tidak telus. Akibat krisis yang kian meruncing, ramai pemimpin dan ahli PKR meninggalkan parti, manakala sesetengahnya membawa hala tuju sendiri. Jika tidak menyertai UMNO atau parti lain, mereka menjadi ‘ahli politik bebas’. Lihatlah gelagat mereka ketika Kongres Nasional Tahunan Ketujuh PKR di Petaling Jaya, kelmarin. Di luar dewan, berlaku demonstrasi yang terang-terang untuk menunjukkan rasa jijik mereka kepada pimpinan parti. Bagi mereka, PKR sudah tidak berupaya lagi mengawal keadaan dan kemarahan ahlinya. Mereka mengkritik kepemimpinan parti khasnya Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan saja dengan kata-kata, tetapi juga pelbagai sepanduk dengan kata-kata kesat dan sinis terhadapnya. Sikap memihak dalam pemilihan parti menyebabkan beliau dipersoalkan. Ahli PKR mempersoalkan prinsip demokrasi jenis apakah yang disokong pemimpin PKR selama ini? Mereka juga jijik melihat pergaduhan sesama pemimpin parti dan menuduh sesama sendiri. Mereka yang tidak mendapat sokongan Anwar akhirnya terpaksa mengalah dan bertindak keluar parti.
Pimpinan parti kian bercelaru apabila Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula mahu konsep ketuanan Melayu dihapuskan. Beginilah sikap pemimpin yang tidak tahu erti maruah bangsa. Hanya kerana mahukan sokongan bukan Melayu, beliau sanggup menyatakan sesuatu yang menyentuh perasaan orang Melayu. Bagi orang Melayu, ini adalah cadangan paling malang kerana ia datangnya daripada orang Melayu sendiri.

UMNO sejak dulu, tidak pernah berubah daripada asas dan landasan perjuangan membela serta mempertahankan bangsa Melayu, sebaliknya Wan Azizah sewenang-wenangnya mahu menggadai kepentingan bangsanya sendiri untuk mencapai impian politik suaminya.

Dengan lakonan dan kepura-puraan kononnya PKR mahu mempertahan bangsa Melayu, bahasa Melayu, hak istimewa Melayu serta Raja dan institusi Raja Melayu, dalam ucapan dasar Wan Azizah, tanpa berselindung mahu ketuanan Melayu dihapuskan. Mungkin inilah taktik terbaru PKR untuk mempertahankan sokongan bukan Melayu selepas keyakinan ahli dan penyokong Melayu kini sudah luntur. Kenyataan ini pasti menggembirakan DAP yang menjulang konsep Malaysian Malaysia. PAS juga dilihat kian menjarakkan diri daripada PKR yang dilihat memberi bebanan politik dan turut memberi tempias kepada parti itu.

Wan Azizah dalam ucapan dasarnya juga bagai hilang pedoman apabila menyifatkan suaminya ‘insan hebat dianugerahkan’ Tuhan kepada mereka. Pastinya, ucapan dasar Wan Azizah adalah atas nasihat dan dalam pengetahuan Anwar. Ini satu lagi tahap permainan politik yang ‘sangat ultra’. PAS dan DAP juga wajar sedar bahawa bahtera PKR yang ‘dikemudi’ Anwar hampir karam. Jadi, apakah kedua-dua parti itu akan membantu menyelamatkannya? Dari sudut lain, Anwar mahu mencetuskan polemik untuk memesongkan fokus umum yang kini bertumpu kepada konflik dalaman PKR. Ternyata, PKR sentiasa mencipta isu dan polemik untuk dijadikan bahan escapisme.

RESOURCE;WWW.BERITA HARIAN.COM.MY

No comments:

Post a Comment