Monday, November 29, 2010

Perihal ‘kuasa ketiga’, ‘kumpulan berempat’

Presiden PKR anggap Anwar ‘anugerah Tuhan’ melampau

SEPERTI dijangka, Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketujuh, yang sebelum ini menarik perhatian umum ekoran kontroversi pada pemilihan barisan kepemimpinannya, berakhir semalam dengan gambaran bahawa parti itu masih terus relevan dan mampu untuk mencapai matlamatnya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.
 
Dicemari dengan dakwaan berlaku manipulasi dan penyelewengan yang menyaksikan seorang calon Timbalan Presiden, Datuk Zaid Ibrahim keluar parti serta bantahan dan tunjuk perasaan daripada sebahagian ahli, barisan kepemimpinan baru PKR yang dipilih, diumum dan disahkan secara rasmi oleh kongres itu semalam.
Walaupun ramai pemimpin mengaku wujud kepincangan pada pemilihan pertama itu, termasuk kekecewaan mereka terhadap tindakan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa menyebelahi pemenang jawatan Timbalan Presiden, Mohd Azmin Ali, pucuk pimpinan parti percaya ahli mampu bersatu semula selepas ini.

Malah, Presidennya yang menang tanpa bertanding, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bukan setakat mempertahankan Anwar, tetapi menyifatkannya sebagai ‘insan hebat yang memang dianugerahkan Tuhan kepada kita semua untuk menjadi pemimpin rakyat’. “Jika beliau insan biasa seperti kita, (Anwar) sudah lama mengundur dan tenggelam di celah segala cabaran dan gelora yang berlaku,” kata Dr Wan Azizah ketika menyampaikan ucapan dasarnya kelmarin.

Kita tidak tahu kenapa Presiden PKR itu perlu mengeluarkan kenyataan sedemikian, yang dianggap oleh musuh politiknya sebagai agak keterlaluan. Mungkinkah ia kerana buat pertama kali sejak PKR ditubuhkan, corak kepemimpinan Anwar dikritik dan dipersoal secara terbuka oleh sebilangan pemimpin dan ahli parti itu, terutama selepas kontroversi pada pemilihan parti sejak sebulan lalu. Malah, pada hari terakhir kongres itu semalam, seorang perwakilan menimbulkan kesangsian mengenai agenda ‘pembersihan’ dalam PKR dan mengaitkannya dengan kewujudan ‘kumpulan berempat’ yang boleh merosakkan parti itu.

Ahmad Nizam Hamid dari Pahang ketika mengambil bahagian dalam perbahasan berkata, slogan pembersihan yang dilaung-laungkan oleh pemimpin hanyalah bersandarkan emosi ‘cengeng’ dan bukan berdasarkan hujah intelektual. “Jika ada gang of four (kumpulan berempat) dalam parti, parti akan longgar sendi,” katanya tanpa menjelaskan siapa sebenar kumpulan itu, tetapi turut menyuarakan kebimbangannya terhadap fenomena ‘pemimpin dewa’ dalam PKR.
“Pemimpin yang berasakan dirinya dewa, tiada tempat dalam parti. Parti dibina atas konsep merdeka,” katanya. Sama ada perkembangan seperti ini menandakan demokrasi subur dalam PKR seperti yang digambarkan oleh pemimpinnya atau memang benar corak kepemimpinan Anwar mula dipersoalkan daripada kalangan parti sendiri, adalah sesuatu yang menarik perhatian.

Turut menarik perhatian ialah amaran bekas Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin mengenai kemungkinan wujud ‘Third Force’ atau kuasa ketiga dalam pakatan pembangkang, yang mungkin menyulitkan gabungan berkenaan untuk menang besar pada pilihan raya umum akan datang.

Syed Husin, yang tidak mempertahankan jawatannya, ketika menyampaikan ucapan perasmian Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan Jumaat lalu, berkata kumpulan kuasa ketiga itu tidak boleh dipandang ringan dan perlu ditangani dengan bijaksana. Katanya, kewujudan satu lagi alternatif politik boleh memberi nafas kepada UMNO-Barisan Nasional dan menyulitkan pakatan PKR-DAP-PAS.

Walaupun tidak menyatakan secara jelas siapa di belakang kuasa ketiga itu, ia dipercayai merujuk kepada Zaid serta beberapa pemimpin yang keluar daripada PKR kerana kecewa dengan pelbagai kepincangan dalam parti. Zaid minggu lalu mengumumkan akan menubuhkan parti baru pada Januari depan, manakala beberapa bekas ahli Parlimen PKR seperti Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim, Zulkifli Nordin dan Wee Choo Keong tidak lama dulu menubuhkan Konsesus Bebas. Parti baru Zahid nanti dan Konsensus Bebas itu memberi pilihan kepada bekas ahli atau penyokong PKR yang semakin ramai keluar parti sejak akhir-akhir ini.

Berakhirnya kongres nasional ketujuh PKR dengan barisan baru kepemimpinannya, menimbulkan persoalan baru – bolehkah mereka menangani kekecewaan sebahagian ahli terhadap proses pemilihan kontroversi itu, sekali gus menyatukan semula ahli?

Kegagalan mereka berbuat demikian memungkinkan lebih ramai ahli dan penyokong PKR meninggalkan parti itu, sama ada menyertai parti baru Zaid, Konsesus Bebas atau menjadi ahli BN secara terus seperti ditawarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kelmarin
RESOURCE;WWW.BERITA HARIAN.COM.MY

No comments:

Post a Comment