2010/12/11
KUALA LUMPUR: Aliran masuk Pelaburan Asing Langsung (FDI) ke Malaysia melonjak kepada RM17.1 bilion untuk tempoh dari Januari hingga September 2010, berbanding hanya RM5 bilion yang dicatatkan pada tahun 2009 sepenuhnya, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed hari ini."Kita berharap dapat mencapai sekurang-kurangnya RM20 bilion FDI menjelang akhir tahun. Bagaimanapun adalah sukar untuk menganggarkan tetapi kita berharap yang momentum ini dapat dikekalkan untuk baki tahun ini," kata beliau selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan tahunan Korporat Muda Malaysia hari ini.
"Malaysia mencatatkan aliran masuk bersih yang tinggi iaitu RM6.2 bilion untuk suku ketiga 2010 berbanding RM5.1 bilion dan RM5.9 bilion, masing-masing dicatatkan pada suku pertama dan kedua.
"Pelaburan dalam suku ketiga terutamanya dalam sektor kewangan dan insurans, pembuatan, minyak dan gas", kata beliau sambil menolak
dakwaan yang kejatuhan 81 peratus dalam FDI tahun lalu adalah disebabkan oleh tadbir urus kerajaan yang lemah.
Mustapa berkata kerajaan akan mempromosikan Malaysia dengan lebih agresif memandangkan lebih banyak negara berminat melabur di dalam negara.
"Memandangkan pertumbuhan di Asean terus meningkat, ia akan menyediakan banyak peluang di rantau ini dari segi perdagangan, perniagaan dan pelancongan," kata beliau.
Beliau juga berkata, yang banyak syarikat Malaysia telah mula menerokai peluang di sekitar rantau ini dan mendapat manfaat daripada proses perdagangan dengan aliran orang ramai dan saling hubung yang dijana.
"Dengan berkembangnya negara ini, kita percaya pelaburan dalam lingkungan Asean akan memainkan peranan penting dalam menggerakkan ASEAN ke hadapan," kata beliau.
Mengulas hubungan dua hala antara Malaysia dan Korea Selatan, beliau berkata, yang pihak-pihak berkaitan akan memulakan perbincangan tidak lama lagi berhubung Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara kedua-dua pihak.
"Kita amat menyokong FTA, dan tiada tempoh yang ditetapkan lagi untuk perbincangan tetapi beberapa perkara permulaan dan kerja-kerja asas perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum kita bergerak kepada sesuatu yang lebih konkrit," kata beliau. - BERNAMA



No comments:
Post a Comment