Oleh Misiah Taib
misiah@bharian.com.my
2010/12/13
Mahu tawan Bumi Kenyalang tetapi anak jati tak diberi peluang berada dalam kepemimpinan MENYIMPAN impian untuk bertanding di 42 kawasan dan menyasarkan kemenangan paling minimum atau sekurang-kurangnya 21 daripada kerusi berkenaan. Itu harapan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-10 yang diadakan pada bila-bila masa sebelum Julai 2011.
“Tanpa politik wang, sebarang ugutan dan ancaman... di padang perlawanan yang adil dan sama rata, kami yakin mampu menang sebahagian besar daripada 42 kerusi yang bakal ditandingi, atau sekurang-kurangnya separuh,” dakwa Baru yang kini sibuk berkempen di Sungai Asap, dalam kawasan DUN Telang Usan.
Sungai Asap terletak bersebelahan kawasan DUN Ba'kelalan – kawasan yang bakal menyaksikan pencalonan Baru sendiri dengan beliau dijangka bakal memberi cabaran hebat kepada calon Barisan Nasional (BN), apa lagi Baru adalah ‘ayam sabung’ tempatan dan dikenali ramai di situ.
Baru mendakwa sentimen inginkan perubahan semakin kuat kedengaran di Bumi Kenyalang dan PKR sendiri akan membawa slogan ‘masa untuk berubah’.
Beliau juga mengharapkan janji autonomi untuk Sarawak dan Sabah yang menjadi modal terbaru PKR untuk memenangi sokongan pengundi di Sarawak menjelang PRN-10, selain isu lama dimainkan selama ini termasuk soal tanah, kepemimpinan terlalu lama, rasuah dan infrastruktur luar bandar.
Namun di kalangan pemerhati politik beranggapan isu autonomi ini bakal ‘memakan diri’. PKR Pusat yang kononnya memperjuangkan autonomi untuk Sarawak dan Sabah, bertindak ibarat ‘cakap tidak serupa bikin’ berdasarkan keputusan pemilihan parti itu baru-baru ini.
Pemimpin Sarawak dan Sabah tiada tempat dalam pimpinan tertinggi. Baru Bian dan Dominique Ng yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden ditolak bulat-bulat. Begitu juga nasib Ansari Abdullah dan James Ghani dari Sabah. Pendek kata tiada tempat untuk wakil Sarawak dan Sabah dalam Majlis Pimpinan Pusat PKR.
Antara pemimpin PKR dari Sarawak yang gagal dalam cubaan mendapat tempat di peringkat pusat termasuk Wan Zainal Wan Sanusi, Jimmy Donald, Abang Zulkifli Abang Engkeh, Ali Bashah Kesing, Christopher Kiyui, George Chen Nguk Fa, George Antau, Mohd Said Gapor, Nicholas Bawin dan Ting Cheng Mei.
Rakan mereka dari Sabah yang menerima nasib sama termasuk Anthony Mandiau, Christina Lee, Jalumin Bagoyoh, Bajudin Nordin, Ramlan Naim dan Ronnie Classen.
Keluh kesah di kalangan ahli PKR di Sarawak dan Sabah kedengaran selepas keputusan pemilihan PKR semuanya memihak kepada pemimpin di Semenanjung dengan tiada wakil dari dua negeri itu diberikan tempat, di sebalik dakwaan kononnya PKR memperjuangkan autonomi untuk Sarawak dan Sabah.
Sudah tentu PKR bimbang ‘tembelang’ meminggirkan pemimpin Sarawak dan Sabah seperti termeterai dalam keputusan pemilihan parti itu baru-baru ini akan memberi kesan ‘merajuk’ berpanjangan penyokong mereka di Sarawak, sekali gus memberi kesan pada PRN-10.
Biarpun PKR kerap kali mendakwa Sarawak penting dengan berjanji akan memberikan suara ‘lebih besar’ kepada anak tempatan untuk menentukan hala tuju Sarawak, sekali gus mengurangkan pengaruh Kerajaan Persekutuan, namun realitinya wakil PKR Sarawak dan Sabah tidak mendapat tempat pada peringkat Pusat.
Kekalahan Baru sendiri sebagai Pengerusi PKR Sarawak sudah cukup untuk menjadi tamparan hebat kepada penyokong PKR di negeri itu, malah nama orang kuat PKR lain seperti Datuk Hafsah Harun dan Bujang Ulis juga bagaikan terus tenggelam dalam proses pemilihan parti baru-baru ini.
Persoalan yang timbul ialah bagaimana PKR Sarawak dapat mempengaruhi dasar parti tanpa mempunyai jawatan penting pada peringkat Pusat. Pemimpin PKR Semenanjung tampak terus menerus menguasai perjalanan PKR Sarawak, umpamanya perlantikan Baru sebagai Pengerusi PKR Sarawak dibuat dengan kuasa Ibu pejabat PKR dan bukan secara konsensus oleh pemimpin PKR negeri.
Sebelum Baru, Mustafa Kamil Ayub dari Perak adalah Pengerusi PKR Sarawak – juga menyaksikan perjalanan PKR Sarawak 100 peratus di tangan pemimpinnya di Semenanjung, tanpa ada kuasa di kalangan pemimpin di peringkat negeri. PKR Sarawak dilihat terlalu bergantung kepada pemimpin di Semenanjung sehingga tanpa disedari tindakan itu mengurangkan autonomi mereka.
Begitu juga kehadiran Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), dalam Majlis Pakatan Rakyat Sarawak (MPRS) yang dilancarkan pada 17 Julai lalu, sering dilupakan, termasuk oleh Timbalan Presiden barunya, Azmin Ali, ketika berucap di Miri, sebelum ini.
MPRS turut dianggotai SNAP, selain PKR, DAP dan PAS, dengan Baru mendakwa PKR saja kini mempunyai lebih 20,000 ahli berdaftar di seluruh Sarawak.
Justeru, isu autonomi yang dilaungkan PKR sebenarnya sekadar gimik politik menjelang PRN-10 selepas 11 tahun gagal menembusi tembok sokongan rakyat Sarawak yang tetap berdiri teguh di belakang kerajaan BN.



No comments:
Post a Comment