Oleh Manja Ismail
manja@nstp.com.my
2010/12/13
BN tiada masalah kekalkan majoriti dua pertiga di Sarawak JIKA perbualan dengan beberapa teman lama dalam kunjungan singkat ke Kuching minggu lalu boleh dijadikan kesimpulan, deman pilihan raya sudah pun bermula di Sarawak, walaupun penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) sekarang hanya akan tamat pada Julai 2011 dan pilihan raya negeri masih boleh diadakan dalam tempoh 60 hari selepas itu.
“Cuma apa yang perlu diingatkan adalah mengenai jentera pilihan raya yang perlu membuat persiapan lebih awal kerana mungkin pilihan raya boleh diadakan lebih awal,” katanya kepada pemberita setibanya dari Tanah Suci.
Mereka yang lama mengenali dan mengikuti pendekatan politik Taib tahu bahawa beliau jarang membuat kenyataan mengenai sesuatu yang masih jauh untuk menjadi kenyataan. Taib juga tidak mungkin menyatakan demikian jika BN Sarawak belum benar-benar bersedia.
Perkembangan terbaru inilah yang menyebabkan cakap-cakap mengenai pilihan raya kembali menjadi tajuk utama perbualan di kedai kopi dan lobi hotel di sekitar bandar utama di Sarawak.
Sama ada pilihan raya negeri akan diadakan awal tahun depan, selepas Tahun Baru Cina atau pada penghujung tempoh akhir Julai nanti, bukanlah persoalan utama. Yang penting mampukah BN Sarawak dan Taib memastikan kemenangan dengan majoriti dua pertiga?
Jika ditanya pembangkang atau pemerhati politik yang membuat ramalan berdasarkan pandangan blog dan laman web, terutama selepas kemenangan DAP pada pilihan raya kecil Sibu pada Mei lalu, jawapan mereka ialah sukar.
Bagaimanapun, bagi kebanyakan pemerhati politik di Sarawak, BN tidak mempunyai masalah untuk terus mengekalkan majoriti dua pertiga. Senario politik Sarawak berbeza dengan Semenanjung yang mana majoriti rakyat negeri berkenaan masih percaya hanya BN yang mampu untuk membawa pembangunan dan menjaga kepentingan mereka. Disebabkan itulah BN Sarawak tidak terjejas langsung dengan tsunami politik pada Pilihan Raya Umum 2004.
DUN Sarawak mempunyai 71 kerusi dan pada pilihan raya negeri 2006, BN memenangi 62 kerusi. Daripada jumlah kerusi BN, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pimpinan Taib menang semua 35 kerusi yang dipertandingkan, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) menang di 11 daripada 19 kerusi; Parti Rakyat Sarawak (PRS) menang di lapan daripada sembilan kerusi dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) menang di semua 8 kerusi yang diperuntukkan kepadanya.
Pada pihak pembangkang, DAP menang enam kerusi; manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR ), Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) dan calon Bebas, masing-masing satu kerusi.
Wakil SNAP, Dr Johnicol Rayong (Engkilili) kemudian keluar parti dan kini menjadi ahli SUPP. Adun Bebas, Gabriel Adit (Ngemah) pula, yang menyertai PKR selepas pilihan raya 2006, kini menjadi anggota Parti Cinta Malaysia (PCM).
Keputusan 2006 berkenaan jelas menunjukkan sementara PBB, PRS dan SPDP, yang mewakili Bumiputera mencatatkan kemenangan besar, SUPP, komponen utama BN negeri yang mewakili masyarakat Cina di Sarawak kehilangan banyak kerusi, terutama kepada DAP.
Enam kerusi yang dimiliki DAP sekarang dianggap kawasan hitam, manakala beberapa kerusi lagi dianggap kawasan kelabu kerana majoriti tipis yang dimenangi BN pada pilihan raya negeri lalu. Ini menimbulkan pertanyaan apakah aliran politik di Semenanjung pada 2004 yang mana pengundi Cina tidak menyokong BN turut berlaku di Sarawak.
Memang benar aliran pengundi Cina di Sarawak terutama di bandar, sejak beberapa pilihan raya lalu menyokong pembangkang. Bagaimanapun, kecenderungan itu lebih kerana mereka muak dengan SUPP, yang masih dilanda krisis kepemimpinan, berpecah kepada beberapa kumpulan dan semua pemimpin kanannya berusia 60 tahun ke atas.
Menurut pemerhati politik di Sarawak, inilah yang menjadi punca utama pengundi Cina mengalihkan sokongan kepada DAP yang meletakkan calon muda yang berkelayakan dan dilihat lebih mesra rakyat.
“Lebih malang lagi, tidak ada barisan kepemimpinan baru yang jelas dalam SUPP ekoran generasi muda tidak diberikan ruang. Walaupun semua pihak, termasuk SUPP sendiri menyedari keadaan ini, belum nampak perubahan ketara berlaku.
“Kelemahan inilah memberi peluang kepada DAP untuk mengukuhkan kedudukannya di Sarawak. Dalam kata lain, majoriti pengundi Cina Sarawak masih mahukan BN, tetapi mereka tidak suka dengan SUPP,” kata seorang pemerhati politik.
Bagi BN Sarawak dan Taib sendiri, jika semua kerusi di kawasan majoriti Cina dimenangi pembangkang pun, mereka masih mampu menang dengan majoriti dua pertiga.
Bagaimanapun, jika itu benar-benar berlaku, kesannya ialah kerajaan negeri nanti tidak mempunyai wakil daripada kalangan masyarakat Cina dan ia memberi kesan kepada politik Sarawak yang selama ini tidak mempunyai masalah dari segi perpaduan kaum.
Barangkali, keahlian secara langsung BN seperti diumumkan baru-baru ini boleh diguna pakai pada pilihan raya Sarawak akan datang.



No comments:
Post a Comment