Monday, December 13, 2010

Minda Pengarang: Pengguna produk kesihatan patut rujuk Kementerian Kesihatan elak kena tipu




2010/12/13

PELBAGAI strategi terus dilakukan pihak tidak bertanggungjawab bagi menjual produk kesihatan dan ubat-ubatan yang sudah diharamkan di pasaran oleh Kementerian Kesihatan. Jika sebelum ini iklan jualan produk yang diharamkan itu agak terhad dan terpampang di tiang lampu, batang pokok atau tembok di tepi jalan, kini ia dijual secara berleluasa terutama melalui internet. Terkini, pihak terbabit menggunakan laman web sosial termasuk Facebook, Twitter dan blog bagi menjual produk berkenaan dalam ruang pasaran lebih besar. Kita percaya walaupun penjual terbabit sedia mengetahui produk berkenaan sudah diharamkan Kementerian Kesihatan kerana mengandungi bahan terlarang, namun atas niat mahu meraih keuntungan besar, mereka tidak pernah mempedulikannya. Selain dijual secara individu, kita tidak menolak tindakan pihak terbabit mungkin didalangi sindiket tertentu. Perbuatan itu amat tidak beretika kerana pihak yang bakal menanggung risiko adalah pengguna. Akhbar ini semalam mendedahkan sekurang-kurangnya ada 47 produk pelangsing badan, komestik dan ubat-ubatan tradisional yang disahkan mengandungi bahan kimia beracun, termasuk steroid dijual melalui laman sosial terbabit. Produk berkenaan mengandungi beberapa bahan kimia beracun seperti sildenafil, phentermine, amphetamine, sibutramin, fenfluramine. Antara kesan ketara yang boleh diakibatkan dengan pengambilan produk yang diharamkan itu termasuk kemurungan, psikosis dan halusinasi, risiko tekanan darah tinggi, sakit jantung dan sakit kepala. Perbuatan itu sama sekali menyalahi Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956 dan Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Kita amat bimbang kerana laman sosial itu disalah guna untuk kepentingan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan tanpa mengambil kira penderitaan yang bakal ditanggung orang ramai, terutama pengguna produk terbabit. Justeru, kita berharap pengguna tidak mudah terpengaruh serta terpedaya dengan pelbagai janji manis kononnya boleh menjadi cantik atau kurus serta merta jika menggunakan produk terbabit. Pengguna mungkin terpaksa menanggung kos rawatan lebih tinggi jika tersalah mengguna produk kesihatan atau ubat-ubatan yang jelas membahayakan. Pengguna sepatutnya mengambil tahu mengenai bahan kandungan dalam produk sebelum membelinya. Orang ramai sewajarnya mendapat maklumat tepat berkaitan produk terbabit daripada pihak berwajib, terutama Kementerian Kesihatan. Kita percaya Kementerian Kesihatan ada menyenaraikan semua produk diharamkan itu dalam laman webnya. Jika orang ramai sanggup menggunakan laman web terbabit untuk mendapatkan maklumat produk dijual, kita percaya mereka juga tidak ada masalah menggunakan pendekatan sama untuk mencari maklumat berhubung produk yang diharamkan. Apapun, Kementerian Kesihatan wajar bertindak segera sebelum jualan produk diharamkan ini secara siber terus berleluasa. Begitu juga dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mereka wajar menghalang perbuatan itu jika terbukti ia menyalahi akta dan peraturan sedia ada. Kita tidak mahu perbuatan itu hanya disekat apabila keadaan sudah menjadi bertambah buruk dan semakin rumit. Penjual produk terbabit wajar dikenakan hukuman setimpal dengan kesalahan mereka dan tidak sewenang-sewenangnya menggunakan teknologi komunikasi untuk kepentingan diri. Pada masa sama, kita percaya mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

No comments:

Post a Comment