2010/12/11
KUALA TERENGGANU: Mayat seorang lagi pemuda yang lemas ketika mandi di Pantai Pandak, Cendering petang semalam, ditemui sekitar 25 meter dari tempat kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi. Mayat S Reymond, 26, dijumpai terapung di kawasan itu oleh Unit Skuba pasukan Bomba dan Penyelamat, yang menyambung semula operasi mencari hari ini seawal jam 7 pagi.
Kejadian semalam berlaku pada kira-kira jam 2 petang semasa enam bersaudara yang berasal dari Kampung Jawa, Klang, Selangor itu sedang berkelah di pantai berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Jamil ketika ditemui di tempat kejadian berkata, tragedi itu bermula apabila salah seorang daripada mereka dihanyutkan ombak besar.
Beliau berkata, keadaan ombak besar dan pasir jerlus di pantai itu adalah antara faktor kejadian berlaku, dan menurutnya pihak berkuasa tempatan juga ada letakkan tanda amaran melarang pengunjung mandi di pantai kerana kawasan itu berbahaya.
Katanya, mayat Reymond dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat, dan operasi mencari oleh pasukan bomba, Jabatan Pertahanan Awam, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dengan bantuan penduduk tempatan di kawasan berkenaan, diteruskan.
Sementara itu bapa kepada tiga beradik yang lemas dalam kejadian itu, V Shanmugan, 47, berkata beliau ada melarang anak-anaknya itu daripada turun ke laut ketika menerima panggilan telefon daripada mereka.
"Setengah jam kemudian saya terima panggilan telefon yang memberitahu ketiga-tiga mereka sudah hilang," katanya. - BERNAMA



No comments:
Post a Comment