2010/12/11
KUALA LUMPUR: Tanah Perkuburan Islam di Kuala Lumpur mampu menampung keperluan hingga 40 tahun akan datang berikutan pembukaan kawasan perkuburan baru di Bukit Jalil seluas 8.9 hektar, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.Beliau berkata, berdasarkan jumlah kematian ketika ini iaitu pada purata 30 kematian sehari, tanah perkuburan sedia ada termasuk yang baru diluluskan di Bukit Jalil, adalah mencukupi bagi tempoh 40 tahun akan datang.
Jamil Khir berkata, MAIWP telah meluluskan peruntukan sebanyak RM416,000 bagi kerja-kerja pembersihan di kawasan kubur.
"Bajet ini akan digunakan untuk kerja-kerja pembersihan termasuk membina laluan masuk yang lebih tersusun dan prasarana yang lengkap, sesuai dengan konsep kubur dalam taman (Raudhatul Sakinah)," katanya.
Beliau berkata, program gotong-royong itu akan dijadikan acara tahunan.
Untuk acara hari ini, seramai 3,000 orang termasuk dari agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, MAIWP, Pusat Pungutan Zakat, Badan Berkanun, penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta, serta Persatuan Penduduk Projek Perumahan Rakyat Batu Muda turut terbabit.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali.
Jamil Khir juga berkata, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan sedang membangunkan sistem E-Pusara, yang mempunyai bank data maklumat mengenai mereka yang dikebumikan di tanah perkuburan Islam di seluruh Wilayah Persekutuan.
Bank data ini, yang akan memudahkan kaum keluarga mencari kubur sanak saudara mereka, dijangka siap akhir bulan ini, katanya.
"Waris jenazah yang dikebumikan di tanah perkuburan Islam yang didaftarkan dalam sistem ini, boleh mendapatkan maklumat mengenai lokasi sebenar kubur sebelum datang untuk menziarahinya," katanya. - BERNAMA



No comments:
Post a Comment