Tidak ada kaum yang dilahirkan untuk menjadi tuan dan tidak ada juga yang dilahirkan untuk menjadi hamba.
Kalau maksud ketuanan Melayu itu menjurus untuk menjadikan kaum Melayu menjadi tuan kepada kaum-kaum yang lain di Negara ini, maka ia memang patut ditentang. Agama kita tidak pernah membenarkan ajaran yang sedemikian, kecualilah kalau orang Melayu telah tidak beriman lagi dengan agamanya Islam.
Apabila kita berkunjung ke rumah orang, kita mesti menghormati pemilik rumah itu sebagai tuan rumah. Kita tidak boleh berkelakuan mengikut suka hati kita, seperti di rumah kita sendiri, apabila berkunjung ke rumah orang. Kalau ketuanan Melayu itu sekadar kita mahu orang lain menghormati kita sebagai ‘tuan rumah’ kepada Negara ini, mungkin ada kewajarannya.
Memang orang Melayu adalah penduduk asal Negara ini, manakala kaum Cina dan kaum India adalah pekerja-pekerja yang dibawa oleh British untuk bekerja di lombong-lombong dan di ladang-ladang.
Keadaan di masa itu, kaum Cina dan India samalah seperti pendatang Indon, Bangla, Nepal dan Vietnam di masa sekarang ini. Sebagai kaum pendatang memang wajarlah mereka menghormati kaum Melayu sebagai ‘tuan’ kepada Negara ini ketika itu.
Itu kisah dulu, tetapi sekarang kita sudah lebih 50 tahun merdeka. Semua kaum, Melayu, Cina dan India adalah warga Negara atau pemilik Negara ini. Bukan sahaja orang Melayu, tetapi orang Cina dan orang India adalah juga ‘tuan rumah’ Negara ini.
Oleh itu memang sesuai kalau Presiden PKR Wan Azizah mengatakan, yang ada sekarang bukanlah ketuanan Melayu, tetapi yang lebih tepat untuk suasana sekarang ialah ‘ketuanan rakyat’. Kerana rakyat bukan sahaja meliputi orang Melayu tetapi termasuk semua warga Negara tanpa mengira kaum.
Pendatang Indon yang ada hari ini, walaupun mereka adalah rumpun Melayu, juga harus menghormati ‘tuan rumah’ Negara ini sepanjang mereka berada dan bekerja di Negara ini. Bezanya, pendatang Indon ini bukan sahaja kena menghormati orang Melayu tetapi mereka juga kena menghormati kaum Cina dan India sebagai warga Negara ini.
Konsep ketuanan Melayu yang diperjuangkan oleh UMNO itu agak kabur dan selalu dimunipulasi oleh UMNO untuk faedah politik mereka. Ada peguam UMNO melenting bila Wan Azizah mengkritik konsep ketuanan Melayu UMNO itu sehingga mendesak beliau dikenakan tindakan di bawah akta ISA.
Sebab itu jugalah kita sekeras-kerasnya menentang akta ISA yang menahan orang tanpa bicara itu. Kalau zaman keganasan kominis dulu, pengganas kominis bukan sahaja musuh UMNO tetapi adalah juga musuh Negara.
Tetapi di zaman sekarang, sukar untuk kita membezakan antara musuh UMNO dan musuh Negara. Musuh UMNO tidak semestinya musuh Negara.
Apa yang kita kesalkan ialah ISA boleh digunakan untuk menjadi senjata politik oleh parti yang berkuasa untuk menghapuskan kemaraan parti lawan.
Apakah orang yang percaya dengan proses demokrasi dan mendokong kuat amalan demokrasi seperti Wan Azizah patut disumbat dalam penjara ISA?



No comments:
Post a Comment