Friday, December 3, 2010

Pengundi Muda Berhak Tentukan Kerajaan – Khairy

KUALA LUMPUR 24 Nov – Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menggesa pengundi muda memainkan peranan mereka sebagai pemilih yang akan menentukan hak dan kuasa rakyat bagi membentuk kerajaan. Katanya, peranan yang dimainkan oleh pengundi muda adalah besar dan tanggungjawab sebagai pemilih perlu dilaksanakan dengan mendaftar sebagai pengundi agar dapat direalisasikan pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.
“Sekiranya golongan muda tidak memainkan peranan maka hak untuk memilih pemimpin akan terletak pada anggota atau golongan masyarakat tertentu sahaja dan tidak mencerminkan kuasa rakyat sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas ketidakseimbangan pendaftaran pemilih antara orang Melayu dan bukan Melayu yang mendaftar sebagai pengundi baru sejak Pilihan Raya Umum 2008 sehingga bulan ini iaitu satu Melayu dan 40 bukan Melayu (1:40).

“Kita bersikap optimis untuk mendaftarkan golongan muda dan langkah ke arah memberi kesedaran kepada mereka sentiasa dilaksanakan dengan melakukan pelbagai kempen dan aktiviti,” katanya.
Ahli Parlimen Rembau itu ditemui wartawan di Dewan Rakyat. Lantaran itu, beliau turut menggesa badan bukan kerajaan (GLC), agensi-agensi kerajaan dan swasta mengadakan kerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya bagi mengambil langkah tersebut.
“Pengundi muda perlu sedar dan ia tidak boleh dilakukan oleh UMNO bersendirian tanpa kerjasama dengan semua pihak, namun kita yakin berdasarkan kepada trend terdahulu bahawa angka golongan muda yang mendaftar sebagai pengundi akan bertambah di saat-saat akhir,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment