Sunday, December 5, 2010

Piagam baru BN berteras 1Malaysia dilancar

2010/12/05


KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) hari ini melancarkan
piagam baru berteraskan gagasan 1Malaysia yang antara lain memaparkan keazaman
untuk memberi penekanan kepada usaha mempereratkan lagi hubungan antara kaum. Piagam itu yang dilancarkan di akhir konvensyen sehari BN di Wisma MCA di sini turut memberi penekanan kepada usaha mencegah dan menentang segala bentuk
ekstremisme dan rasisme demi memupuk perpaduan bagi sebuah masyarakat majmuk
berteraskan gagasan IMalaysia.
Piagam BN itu dibacakan oleh Setiausaha Eksekutif BN Datuk Abu Khamis sambil
diikuti oleh 2,340 perwakilan, sebelum piagam itu diserahkan kepada Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi BN untuk ditandatangani.
Piagam berteraskan tujuh perkara itu turut memberi penekanan untuk
menjunjung keluruhan Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang menghormati hak dan keistimewaan setiap rakyat sebagai warganegara, mengiktiraf kesaksamaan
rakyat di sisi undang-undang, menjamin kebebasan sebuah masyarakat yang aman,
stabil, makmur dan selamat.
Selain itu, piagam BN turut menekan usaha memajukan ekonomi negara melalui
peningkatan daya saing, di samping memberi komitmen terhadap pembahagian ekonomi
yang adil dan mengekalkan kelestarian alam sekitar, menggalak penyertaan semua
kaum dalam setiap bidang ekonomi dengan seimbang demi memastikan nikmat
kemakmuran dan kekayaan negara dapat dikecapi bersama.

Prinsip piagam keempat juga memaparkan ikrar BN untuk menjamin pendidikan
berkualiti untuk semua, memperkasakan pembudayaan ilmu pengetahuan sebagai asas
pembentukan modal insan yang berketerampilan serta memastikan pendidikan
kebangsaan menjadi wahana utama pembentukan insan yang mulia demi pengukuhan
nasional.
BN turut berikrar untuk meneruskan tradisi membela rakyat dengan
mengutamakan pembangunan ekonomi dan kebajikan sosial, peningkatan infrastruktur
asas yang menyeluruh, serta menjadikan peningkatan kualiti hidup rakyat sebagai
penanda aras utama pretasi kerajaan BN.
Piagam BN itu turut menekankan perlunya untuk memantapkan institusi
keluarga, menggalakkan penyertaan wanita, belia, orang kurang upaya dan isi
rumah secara berkesan dalam pembangunan muda dan masyarakat sivil sebagai rakan
utama dalam pembinaan negara.
Prinsip ketujuh piagam BN menyaksikan BN berikrar untuk mendukung prinsip
tadbir urus yang baik dan menolak amalan rasuah, menyokong dan membantu
meningkatkan integriti dan kecekapan agensi kerajaan, dalam menyampaikan
perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan menghayati konsep "Rakyat Didahulukan"
sebagai asas pewujudan kerajaan yang mengutamakan pencapaian dalam memenuhi
keperluan dan harapan rakyat. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment